PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bulatan sebelum merempuh sebuah kereta di Bulatan Pavilion, Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa lelaki mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa datang dari arah lampu isyarat KDCA sebelum hilang kawalan dan melanggar bulatan.

“Motosikal itu kemudian merempuh bahagian kanan kereta dipandu lelaki tempatan berusia 48 tahun.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama di kawasan bulatan pada waktu malam serta tidak menyebarkan gambar atau video kemalangan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. – Info X