Search

Kancil terbalik di tebing, tanah runtuh dan banjir kilat landa Kundasang

October 11, 2026

Info X Reporters

RANAU: Hujan lebat berterusan sejak petang tadi mengakibatkan tanah runtuh dan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Kundasang, di sini, termasuk sebuah Perodua Kancil dipercayai dihanyutkan arus hingga terbalik di tebing jalan kampung.

Kejadian di Kampung Sinisian (Kampung Gorowot) itu menyebabkan kereta berkenaan ditemukan terbalik di kawasan runtuhan tanah berhampiran laluan utama masuk ke kampung terbabit.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di Kampung Sinisian kira-kira jam 5.58 petang.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan di lokasi sebuah kereta Kancil terbalik di Kampung Sinisian, Kundasang.

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah Perodua Kancil terbalik di tebing jalan dengan kawasan runtuhan dianggarkan seluas 223 meter persegi.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Hujan berterusan melanda kawasan berkenaan sejak jam 4 petang,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Mursalin berkata, pihaknya turut menerima laporan tanah runtuh di belakang Surau Al-Taqwah, Kampung Dumpiring Bawah, Kundasang, kira-kira jam 5.19 petang.

Katanya, runtuhan tanah di kawasan berkenaan dianggarkan seluas 74 meter persegi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan polis menjalankan pemantauan di lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Dumpiring Bawah, Kundasang.

“Dalam kejadian berasingan, limpahan air bercampur batuan turut menjejaskan jalan utama Kampung Pahu ke Kampung Himbaan di Bundu Tuhan.

“Pemeriksaan kira-kira jam 8 malam mendapati saluran pembetung tersumbat sehingga menyebabkan air bersama batuan melimpah ke atas jalan raya,” katanya.

Lokasi kejadian batuan melimpah di atas jalan raya di Kampung Pahu – Kampung Himbaan, Kundasang.

Menurutnya, seramai lapan pekerja syarikat DCTF Group berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembersihan laluan berkenaan.

Katanya, anggota polis dari Pondok Polis Bundu Tuhan bersama pasukan peronda Kundasang turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di kawasan terjejas.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan sebuah Perodua Kancil terbalik di tebing jalan, selain limpahan air bercampur batuan yang memenuhi jalan raya di sekitar Kundasang. – Info X