Search

Polis buru lima lelaki belasah mangsa guna topi keledar di Inanam

October 11, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis giat mengesan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah seorang lelaki menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 23 tahun dipercayai dipukul dan ditendang sekumpulan lelaki tidak dikenali sehingga mengalami keretakan tulang hidung, selain lebam serta calar pada beberapa bahagian badan.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang sekumpulan lelaki termasuk menggunakan topi keledar.

“Polis kini giat mengesan dan mengenal pasti lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran.

Katanya lagi, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, sejak petang tadi, tular rakaman video berdurasi 33 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai dibelasah sekumpulan individu menggunakan topi keledar di kawasan berkenaan. – Info X