KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas kediamannya di tingkat lima, Taman Nelly, Jalan Nountun, Inanam, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 38 tahun yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan dalam keadaan meniarap di lantai tandas oleh rakannya yang datang ke rumah berkenaan selepas menerima maklumat mengenai keadaan lelaki itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 10.57 malam daripada seorang lelaki.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menghubungi seorang kenalannya di Sungai Petani kira-kira jam 8.20 malam sebelum rakannya di Kota Kinabalu dimaklumkan mengenai keadaan mangsa.
“Susulan itu, rakan mangsa bersama pengawal keselamatan pergi ke rumah berkenaan kira-kira jam 9 malam untuk memeriksa keadaannya.
“Setibanya di lokasi, mereka mendapati pintu rumah tidak berkunci sebelum masuk dan menemukan mangsa dalam keadaan meniarap serta berlumuran darah di lantai tandas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, sebilah pisau turut ditemukan berhampiran mangsa sebelum kejadian dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Katanya, pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa, manakala pemeriksaan pada tubuhnya menemukan kesan kecederaan di leher dan lengan kiri.
“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut hadir menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan dan mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Sementara itu, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan dan menurunkan mangsa dari tingkat lima bangunan berkenaan. – Info X