KOTA KINABALU: Seorang daripada lima lelaki yang diburu polis susulan kejadian memukul seorang lelaki menggunakan topi keledar di KK Taipan, Inanam, di sini, berjaya ditahan tengah malam tadi.
Suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Kampung Melalin, Tuaran, kira-kira jam 12.45 tengah malam hasil siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu.
Tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, tangkapan itu adalah hasil siasatan lanjut selepas polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 5.48 petang, semalam.
“Suspek berjaya ditahan dan usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan masih diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrudin berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kejadian itu.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis memburu lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian memukul dan menendang seorang lelaki berusia 23 tahun, termasuk menggunakan topi keledar di hadapan sebuah premis di KK Taipan, Inanam, malam Sabtu lalu.
Kejadian yang turut tular menerusi rakaman video berdurasi 33 saat itu menyebabkan mangsa mengalami keretakan tulang hidung, lebam dan calar pada beberapa bahagian badan.
Mangsa dilaporkan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan berada dalam keadaan stabil. – Info X