Search

Ingatkan filem Indonesia, rupanya karya anak Sabah

October 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siapa sangka filem MR. FINANCE: Cinta Gadis Autisme yang disangka sesetengah pengguna media sosial sebagai karya dari Indonesia, sebenarnya hasil tangan anak Sabah yang kini berdepan cabaran menarik penonton ke pawagam.

Lebih mengejutkan, filem yang mula ditayangkan pada 8 Oktober lalu itu dihasilkan menggunakan dana sendiri tanpa bantuan geran pembikinan filem, namun sambutannya masih jauh daripada harapan pengarahnya, Jade Morris.

Bagaimanapun, di sebalik sambutan hambar itu, pengarah kelahiran Sabah berkenaan menerima suntikan semangat apabila Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan tampil menaja lima dewan pawagam bagi tayangan khas filem berkenaan di Tawau, bulan depan.

Jade yang juga penulis skrip filem terbitan Nautica Production Sdn Bhd berkata, tanggapan sesetengah pengguna media sosial yang menyangka filem itu berasal dari Indonesia menunjukkan masih ramai belum mengenali karya berkenaan.

“Mungkin ada yang melihat poster atau treler kami dan menyangka ini filem luar negara. Tetapi sebenarnya ini filem anak Sabah, hasil usaha kami sendiri.

“Saya tidak salahkan sesiapa kalau mereka belum tahu. Cuma saya berharap orang ramai dapat mengenali filem ini dan memberi peluang untuk menontonnya sebelum membuat penilaian,” katanya.

Menurut Jade, filem yang diterbitkan bersama Gregory Giting itu turut membabitkan barisan pelakon dan tenaga produksi tempatan yang berusaha merealisasikan karya berkenaan walaupun berdepan pelbagai kekangan.

Katanya, MR. FINANCE: Cinta Gadis Autisme bukan sekadar kisah percintaan, sebaliknya mengangkat kehidupan Dani, seorang gadis autistik yang mempunyai perasaan, harapan dan keinginan untuk dicintai seperti insan lain.

Jelasnya, menerusi watak Dani, beliau mahu masyarakat memahami bahawa individu autistik juga berhak menerima kasih sayang dan tidak seharusnya dipandang berdasarkan kekurangan atau perbezaan mereka.

“Kadang-kadang kita terlalu cepat menilai seseorang tanpa benar-benar memahami apa yang mereka lalui.

“Saya berharap apabila orang menonton kisah Dani, mereka bukan sekadar melihat sebuah cerita cinta, tetapi turut membawa pulang sesuatu yang membuat mereka lebih memahami individu autistik.

“Kalau filem ini mampu mengubah walaupun sedikit cara seseorang melihat dan menerima golongan ini, bagi saya itu sudah sangat bermakna,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jade berkata, kesudian Datuk Nizam menaja lima dewan tayangan khas di 10Star Cinemas Kubota, Tawau, pada 14 November depan memberi harapan baharu kepada pihak produksi.

Menurutnya, persetujuan itu dicapai selepas pertemuan bersama beliau, Gregory dan Fuad Larkins, hari ini.

“Saya benar-benar terharu dan berterima kasih kepada Datuk Nizam. Dalam keadaan kami berdepan cabaran untuk mendapatkan penonton, beliau sudi tampil memberikan sokongan.

“Bagi kami, bantuan ini bukan sekadar tajaan lima dewan pawagam, tetapi memberi harapan bahawa karya tempatan masih mempunyai ruang untuk terus diperjuangkan.

“Saya berharap usaha seperti ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak swasta, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat bagi menyokong industri filem tempatan serta memperluas kesedaran mengenai autisme,” katanya.

Mengulas sambutan kurang menggalakkan terhadap filem itu, Jade mengakui sedih apabila segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit bersama pasukan produksi masih belum mampu menarik kehadiran penonton seperti diharapkan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu berputus asa kerana lebih bimbang mesej mengenai penerimaan individu autistik yang cuba diketengahkan menerusi filem itu gagal sampai kepada masyarakat.

“Sejujurnya, saya sedih melihat sambutan yang masih rendah. Kami sudah lakukan apa yang termampu untuk menghasilkan filem ini.

“Saya tahu karya kami tidak sempurna. Masih banyak yang perlu kami belajar dan perbaiki, tetapi paling saya bimbangkan ialah apabila orang tidak berpeluang melihat mesej yang kami cuba sampaikan.

“Saya lebih rela orang menonton dan memberi kritikan yang jujur daripada filem ini berlalu begitu sahaja tanpa masyarakat mengetahui cerita yang kami bawa,” katanya.

Sehubungan itu, Jade berharap rakyat Malaysia, khususnya di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, memberi peluang kepada filem berkenaan selagi masih ditayangkan di pawagam.

Tegasnya, beliau tidak mengharapkan simpati penonton, sebaliknya mahu masyarakat menilai sendiri karya yang dihasilkan dengan penuh pengorbanan itu.

“Saya tidak meminta orang datang menonton kerana kasihan kepada saya. Saya cuma berharap rakyat Malaysia memberi peluang kepada filem ini.

“Datanglah menonton dan nilailah sendiri. Mungkin ada sesuatu dalam kisah Dani yang boleh menyentuh hati atau membuat kita melihat kehidupan orang lain dengan cara berbeza.

“Kalau kita mahu melihat lebih banyak karya anak Sabah di pawagam, sokongan itu perlu bermula daripada kita sendiri,” katanya.

Filem MR. FINANCE: Cinta Gadis Autisme mula ditayangkan pada 8 Oktober lalu, manakala tayangan khas membabitkan lima dewan tajaan Datuk Nizam dijadual berlangsung di 10Star Cinemas Kubota, Tawau, pada 14 November depan. – Info X