Search

Bekas pengadil kebangsaan meninggal dunia selepas hampir 19 jam bertarung nyawa

October 12, 2026

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Bekas pengadil bola sepak kebangsaan yang juga seorang guru meninggal dunia selepas hampir 19 jam bertarung nyawa akibat kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux dan lori tangki di Jalan Manggaris 2, di sini, semalam.

Mangsa, Hilton Soibik, 32, yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping 2, disahkan meninggal dunia pada jam 9.24 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang semalam, mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah kaki, tangan dan bahu kanan serta kecederaan pada perut dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu Toyota Hilux dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, ketika melalui jalan selekoh dan mendaki bukit, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Toyota Hilux berkenaan kemudian bertembung dengan sebuah lori tangki yang datang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu.

“Akibat pertembungan itu, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Kota Marudu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori tangki berusia 55 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, keadaan jalan ketika kejadian dilaporkan basah dan licin berikutan hujan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE I pagi tadi.

“Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) akta sama susulan kematian mangsa,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook rasminya turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian bekas pengadil kebangsaan berkenaan.

Menurut FAM, mendiang terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk mengadili kejohanan bola sepak Piala Parlimen YB Munirah 2026 di Kota Belud.

Mendiang sebelum ini pernah mengadili beberapa pertandingan bola sepak peringkat kebangsaan termasuk Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Wanita Kebangsaan (LWN). – Info X