Search

PENGUATKUASA JPJ MENGAKU TIDAK BERSALAH ATAS DUA TUDUHAN RASUAH

February 8, 2023

admin

TAWAU: Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, di sini, atas dua tuduhan rasuah.

Mahasan Nordin, 36, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Ak Juga selepas dua pertuduhan terbabit dibacakan kepadanya, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mahasan didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3, Jalan Segama, Lahad Datu pada 28 Februari 2020, antara jam 3.20 hingga 4 petang.

Tertuduh dipercayai telah menerima dan meminta rasuah daripada seorang pemilik syarikat bagi melepaskan lori yang telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahason dituduh mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, mahkamah menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh sebutan semua kes berkenaan.Tertuduh juga dibenarkan untuk dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dan RM5,000 didepositkan ke akaun mahkamah bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh agar tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM cawangan Lahad Datu pada setiap dua bulan selain pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah. – Info X