KOTA KINABALU: Yayasan Sabah sekali lagi memberi peluang kepada semua peminjam pinjaman pengajian Yayasan Sabah bagi menikmati insentif rebat menarik melalui Program Rebat Budi Madani 2026 yang ditawarkan bermula 8 hingga 28 Oktober 2026.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, yayasan itu berkata pelaksanaan program Rebat Madani kali ini sama seperti sebelum ini dengan tujuan utama bagi menghargai peminjam yang komited membuat pembayaran balik pinjaman pengajian serta memupuk budaya pembayaran yang mampan.
“Susulan sambutan yang amat memberangsangkan pada Ogos dan September 2026, Program Rebat Budi Madani 2026 ini mengekalkan tawaran rebat yang menarik bagi menggalakkan lebih ramai peminjam menunaikan obligasi mereka untuk membuat pembayaran balik pinjaman pengajian untuk menyumbang kepada kelestarian dana tajaan pengajian Yayasan Sabah.
“Di bawah Program Rebat Budi Madani 2026, tiga kategori rebat ditawarkan iaitu, Rebat 30% ditawarkan kepada peminjam kategori Aktif Bayar, yakni mereka yang membuat pembayaran secara konsisten yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka.
“Rebat 25% pula ditawarkan kepada peminjam yang tidak termasuk dalam kategori Aktif Bayar, yang berhasrat untuk melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka, manakala, Rebat 20% ditawarkan kepada peminjam yang membuat pembayaran secara ansuran,” katanya.
Yayasan Sabah berkata, pemberian kadar rebat yang tinggi dalam Program Rebat Budi Madani 2026 adalah sebagai tanda penghargaan Kumpulan Yayasan Sabah kepada peminjam yang aktif, konsisten dan dedikasi mereka mematuhi jadual pembayaran balik yang telah ditetapkan.
Di samping itu, katanya program pengampunan Credit Tip-Off Service (CTOS) turut dilaksanakan bagi meringankan bebanan peminjam yang sebelum ini perlu membayar jumlah tunggakan pinjaman yang besar untuk dikeluarkan dari senarai CTOS.
“Bagi memudahkan peminjam untuk bertanya lebih lanjut dan memahami proses-proses yang berkaitan program rebat dan pengampunan CTOS ini, Yayasan Sabah akan melaksanakan jelajah ke beberapa daerah di Sabah untuk berjumpa secara bersemuka dengan peminjam yang berminat menyertai program berkenaan.
“Maklumat terperinci mengenai tarikh dan lokasi jelajah ini akan dimaklumkan melalui media sosial dari semasa ke semasa.
“Sebagai alternatif, peminjam juga boleh mengunjungi Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian, Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian di Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah,” katanya.
Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Pengampunan CTOS, katanya boleh dikemukakan melalui Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088/ 014-3288868 / 016-8286125 / 010-9556977 / 010-2366967, atau emel ke alamat [email protected]. – Info X