Search

Priscella ziarah anggota PGA yang juga bekas pemain Sabah hidap kanser

October 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Priscella Peter, menziarahi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Suharti Sudin, yang kini sedang berjuang melawan penyakit kanser.

Kunjungan itu bertujuan menyampaikan sokongan moral serta sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung Suharti ketika berdepan ujian kesihatan berkenaan.

Priscella berkata, keprihatinan terhadap individu yang pernah menabur bakti kepada negeri, khususnya dalam arena bola sepak Sabah, perlu terus dipupuk dan tidak seharusnya dilupakan ketika mereka berdepan kesusahan.

Suharti juga adalah bekas pemain bola sepak Liga Simpanan Sabah yang pernah menyumbang bakti dalam arena bola sepak negeri pada awal 90-an.

Menurutnya, walaupun kehadiran dan sumbangan yang diberikan tidak mampu menghilangkan kesakitan yang ditanggung, sokongan moral serta perhatian daripada masyarakat diharap dapat memberikan kekuatan kepada Suharti untuk terus tabah menghadapi ujian berkenaan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar Suharti terus kuat dan tidak berputus asa, selain mendoakan supaya segala urusannya dipermudahkan serta diberikan kesembuhan.

Dalam kunjungan itu, Priscella turut diiringi Naib Presiden KDM, Henry Saimpon, yang juga bekas pemain Sabah, Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi, Setiausaha Kerja KDM, Jaesman Gipin serta Rizal Awang Jadd dan Ebby Roy yang juga bekas pemain Sabah.

Priscella berharap kunjungan berkenaan dapat memberikan semangat kepada Suharti dan keluarganya, selain menjadi tanda bahawa jasa individu yang pernah berbakti kepada Sabah sentiasa dihargai.-Info X