Search

Polis buru lima individu belasah lelaki gara-gara tegur ekzos bising

October 13, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Polis giat mengesan lima individu yang disyaki membelasah seorang lelaki berusia 23 tahun selepas mangsa menegur bunyi ekzos sebuah kereta dalam kejadian di Bandar Utama IJM Batu 6, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam itu, mangsa dipukul sehingga terbaring selepas menegur pemandu Perodua Kancil yang berulang kali membunyikan ekzos dengan kuat di Jalan Dataran BU 5.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang melepak bersama tiga rakannya di hadapan sebuah bangunan kedai tidak beroperasi.

Katanya, mangsa menjerit menegur pemandu kereta berkenaan kerana mendakwa kejadian sama pernah berlaku sehingga dia bersama rakannya dimarahi polis trafik.

“Selepas ditegur, pemandu terbabit beredar sebelum meletakkan keretanya tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Tidak lama kemudian, lima individu datang bersama pemandu berkenaan sebelum menyerang dan memukul mangsa sehingga terbaring,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami luka ringan di bahagian atas kening kiri selain lebam pada hidung dan kedua-dua lengan.

“Seorang rakan mangsa yang sedang membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok sempat merakam kejadian itu selama 53 saat sebelum menghentikan rakaman kerana bimbang keselamatannya.

“Serangan hanya terhenti selepas beberapa individu lain yang berada berhampiran meleraikan pergaduhan berkenaan,” katanya.

George berkata, tiada sebarang senjata digunakan dalam kejadian itu dan polis menerima laporan daripada mangsa awal pagi tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan usaha mengesan lima suspek sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video memaparkan seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di kawasan berkenaan tular di media sosial sehingga menarik perhatian orang ramai. – Info X