Search

KUPIKUPI FM tembusi Semenanjung, perkukuh suara Borneo

October 14, 2026

Info X Reporters

KUALA LUMPUR: KUPIKUPI FM melakar sejarah sebagai stesen radio komuniti swasta pertama dari Borneo yang mengembangkan penyiaran radio FM terestrialnya ke Semenanjung Malaysia.

Pengembangan itu membolehkan muzik, budaya, warisan dan kisah masyarakat Sabah serta Sarawak diketengahkan kepada khalayak lebih luas menerusi frekuensi 106.0 FM.

Stesen radio itu kini boleh didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, termasuk Seremban, selain Selangor yang merangkumi Sepang, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya dan Kajang, serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol, berkata perkembangan itu menjadi detik bersejarah bagi syarikat berkenaan dan industri penyiaran Borneo.

Beliau berkata, pengembangan itu bukan sahaja bertujuan menghubungkan masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dengan kampung halaman, malah memberi peluang kepada masyarakat di Malaysia Barat mengenali Borneo dengan lebih dekat.

“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.

“Pada masa sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat.

“Kami hadir untuk berkongsi budaya, muzik dan cerita kami, serta menyumbang kepada landskap penyiaran Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian,” katanya.

KUPIKUPI FM SABAH dilancarkan pada Januari 2016 sebagai stesen radio komuniti yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan dan menyediakan platform kepada suara anak negeri.

Menerusi frekuensi 96.3 FM, stesen itu meliputi beberapa kawasan di Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran dan Kota Belud.

Selain penyiaran, KUPIKUPI FM turut memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pelaksanaan lebih 30 inisiatif di Sabah, kebanyakannya tertumpu kepada usaha memulihkan bekalan air untuk komuniti luar bandar.

Usaha itu dilaksanakan menerusi inisiatif Operasi Kerja Komuniti dengan kerjasama rakan strategik bagi membantu meningkatkan akses kepada bekalan air dan menyokong masyarakat yang memerlukan.

Stesen berkenaan turut mengembangkan penglibatannya dalam industri hiburan dengan menganjurkan lima konsert utama dan sebuah festival yang menampilkan artis tempatan serta antarabangsa.

Penganjuran itu membuka peluang kepada penggiat seni tempatan berkongsi pentas dengan artis terkenal dari Indonesia, antaranya Repvblik, D’Masiv dan Kotak.

Perkembangan KUPIKUPI FM diteruskan menerusi pelancaran KUPIKUPI FM SARAWAK pada 9 Jun 2023.

Beroperasi pada frekuensi 92.5 FM di Kuching, stesen itu menghimpunkan bakat muda Sarawak menerusi muzik, penceritaan dan program berteraskan komuniti, selain memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik dan kepercayaan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya meluaskan penglibatan dalam bidang kewartawanan digital menerusi INFO X, portal berita dalam talian yang memfokuskan perkembangan dan isu berkaitan Sabah.

Platform itu memberi tumpuan kepada penyampaian berita yang pantas, relevan dan dekat dengan realiti masyarakat, khususnya khalayak di Sabah.

Kesemua platform berkenaan merupakan sebahagian daripada perniagaan media bersepadu OOGA X Sdn Bhd yang merangkumi penyiaran radio, perkhidmatan dalam talian, aktiviti lapangan dan pengurusan acara.

Lester berkata, keupayaan syarikat itu turut merangkumi pengurusan acara, promosi lapangan, aktivasi pemasaran dan penglibatan komuniti, sekali gus membuka peluang kerjasama dengan perniagaan yang mahu mengembangkan pasaran di Sabah dan Sarawak.

“Kami mahu bakal pelanggan melihat kami sebagai penghubung dan jambatan kepada pasaran Borneo.

“Kami berhasrat menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada perniagaan yang ingin meluaskan jangkauan, meningkatkan kesedaran jenama dan berhubung dengan pengguna di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, pengembangan penyiaran ke Semenanjung Malaysia dijangka memperkukuh hubungan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, selain memberi pendedahan lebih luas kepada bakat kreatif, kepelbagaian budaya serta kisah komuniti Borneo.

Bermula sebagai stesen radio komuniti di Sabah, berkembang ke Sarawak dan kini menembusi Semenanjung Malaysia, KUPIKUPI FM terus berusaha memperluas jangkauan penyiarannya tanpa melupakan komuniti yang menjadi asas penubuhannya.-Info X