TAWAU: Seorang penganggur lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit di Batu 2, Jalan Apas, di sini, sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000 akhirnya diberkas polis, petang semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Tangkapan itu dibuat susulan laporan pemilik kedai yang mendapati premis perniagaannya dipecah masuk, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, pemeriksaan mendapati mangga keselamatan pada pintu gril utama kedai berkenaan dipotong dipercayai menggunakan alat pemotong.
Katanya, suspek dipercayai melarikan wang tunai yang disimpan dalam dua mesin juruwang, selain kad tambah nilai prabayar pelbagai syarikat telekomunikasi bernilai kira-kira RM7,000.
“Turut dilaporkan hilang ialah sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan runcit dengan keseluruhan kerugian dianggarkan RM10,000.
“Susulan tangkapan itu, polis merampas sebuah beg sandang mengandungi 46 keping kad tambah nilai CelcomDigi bernilai RM425 bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi mengesan baki barangan yang hilang selain mengenal pasti kemungkinan pembabitan individu lain.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah, khususnya jenayah harta benda di daerah ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya meningkatkan tahap keselamatan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X