RANAU: Polis berjaya mengesan pelancong warga Itali yang menjadi mangsa sekumpulan remaja membaling batu ketika berehat di dalam khemah di padang Kampung Lohan, di sini, bulan lalu.
Pelancong terbabit, Nicola Chiacchio, yang dalam misi mengelilingi dunia menggunakan basikal, dikesan berada di Kem Cinta Mata, Pitas, sebelum beberapa pegawai dan anggota polis digerakkan untuk menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu susulan penularan rakaman video membabitkan pelancong berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 8 September lalu ketika Nicola singgah berehat dan mendirikan khemah di padang Kampung Lohan.
“Ketika berada di kawasan itu, pelancong berkenaan turut disantuni penduduk setempat yang memberikan makanan dan minuman kepadanya.
“Bagaimanapun, ketika mahu tidur pada waktu malam, sekumpulan remaja bertindak membaling batu ke arahnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mursalin berkata, Nicola kemudian memuat naik rakaman kejadian itu ke media sosial bagi memberikan kesedaran kepada remaja terbabit, khususnya ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, katanya, video berkenaan dipadam semula pada 9 Oktober lalu.

“Pelancong itu tidak membuat laporan polis kerana beranggapan remaja terbabit hanya mahu menakutkannya dan tidak berniat mencederakannya.
“Dia turut memaklumkan bahawa beberapa remaja dipercayai sudah memohon maaf kepadanya menerusi media sosial,” katanya.
Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian selain menemu bual beberapa individu termasuk pihak yang memberikan kebenaran kepada pelancong itu untuk mendirikan khemah di padang berkenaan.
Katanya, pihaknya memandang serius kejadian itu dan menasihatkan masyarakat, khususnya golongan remaja supaya tidak bertindak sesuka hati tanpa memikirkan akibat perbuatan mereka.
“Polis turut menghargai keprihatinan masyarakat Ranau yang tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Sikap penduduk yang sentiasa mengambil berat dan menghargai kehadiran pelancong ke daerah ini juga amat dihargai,” katanya. – Info X