Search

Timpohon Run 2026: Donal pertahan gelaran Lelaki Terbuka, Nancy cipta rekod baharu Wanita Terbuka

October 17, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelari dari Tambunan, Donal Ronaldi Lasius berjaya mempertahankan gelaran juara Timpohon Run 2026 bagi kategori Lelaki Terbuka buat kali kedua di Taman Kinabalu, Kundasang pada Sabtu.

Donal menamatkan larian dalam masa 50 minit dan lapan saat, meninggalkan pesaing terdekatnya dari Russia, Vegman Alexey yang mencatat masa 53 minit dan 48 saat.

Tiga peserta lain di belakang mereka ialah Jospah Sualin (58 minit, 23 saat), Alexter Aloysius (satu jam, 25 saat) dan Jacklon Ginin (satu jam, 44 saat, kesemuanya mewakili Malaysia.

Sementara itu, bagi kategori Terbuka Wanita, pelari dari Kiulu, Nancy Bongkuron berjaya mendahului peserta lain dengan mencatat rekod baharu bagi ketagori berkenaan, dengan masa satu jam, lapan minit dan 30 saat.

Empat peserta di belakangnya ialah Dazeree Joan Joannes (1 jam, 13 minit, 1 saat), Maritana Simpat (1 jam, 14 minit, 10 saat), Hayatun Syamilah Dzulmadzli (1 jam, 15 minit, 14 saat) dan Harlin Richard (1 jam, 16 minit, 54 saat), semuanya mewakili Malaysia.

Secara keseluruhan, seramai 331 peserta dari pelbagai negara menyertai larian berkenaan sempena Climbathon Gunung Kinabalu ke-33 yang akan berlangsung esok (Ahad).

Timpohon Run 2026 menawarkan peluang kepada peserta untuk menikmati persekitaran semulajadi Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai tapak UNESCO Global Geopark.

Dengan jarak larian sejauh 9.8 kilometer, acara itu bermula dari Pintu Utama ke Pondok Timpohon dan seterusnya Mempening
Trails, Liwagu Restaurant dan berakhir di Dewan Kinabalu.

Peserta diberi masa empat jam 30 minit untuk menamatkan larian dengan ganjaran wang tunai kepada pelari lima tercepat bagi kedua-dua kategori iaitu masing-masing RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM150.

Acara itu dilepaskan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan dan Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Anthea James Jipanus bersama Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Raime Unggi.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Taman-Taman Sabah, Christopher Lingam; Timbalan Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Datuk Mohd Reduan Aklee; dan Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim.

Timpohon Run 2026 disokong Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dab dianjurkan STB dengan kerjasama Taman-Taman Sabah, Sri Pelancongan Sabah dan Hello Sabah Events.

Acara itu ditaja secara rasmi oleh BigBigPlace dan Life Water Industries (K2 Drinking Water &
Tritonic) dengan sokongan daripada rakan penaja Waxe and Engine X. – Info X