BONGAWAN: Sebanyak 500 anak pokok bakau ditanam menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) di Kampung Seri Serbang, di sini, pada Ahad.
Program dinamakan Projek CSR Cahaya Serbang itu dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan diketuai sendiri Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz yang turut menanam anak pokok bakau di tebing sungai.
Turut menyertai program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar; Dekan Fakulti Perhutanan Tropika UMS, Prof Dr Normah Awang Besar @ Raffie dan pemimpin komuniti Kampung Seri Serbang.

Ditemui pemberita pada program itu, Saadiah berkata penanaman 500 anak pokok bakau itu adalah sebahagian daripada usaha memulihara ekosistem pesisir dan menyokong perlindungan habitat kelip-kelip di kawasan berkenaan.
Katanya, program itu selaras dengan tanggungjawab syarikat sebagai penyedia utiliti yang turut komited menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan khazanah alam semula jadi negeri ini.
“Sebagai sebuah syarikat utiliti yang menjadi sebahagian daripada pembangunan Sabah, Sabah Electricity percaya bahawa tanggungjawab kami turut merangkumi usaha memelihara alam semula jadi yang menjadi khazanah negeri ini.
“Melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat, Sabah Electricity berusaha menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dengan menggerakkan kerjasama bersama institusi akademik, komuniti dan pihak berkepentingan.

“Kami mahu memastikan pembangunan dan kemajuan yang dinikmati hari ini turut disertai usaha menjaga keseimbangan alam untuk generasi akan datang.
“Projek Cahaya Serbang adalah antara usaha itu dan mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong pemeliharaan biodiversiti serta kelestarian alam semula jadi Sabah,” katanya.
Katanya, kerjasama dengan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), UMS itu membuka ruang kepada perkongsian kepakaran dan pengetahuan berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, penglibatan komuniti Kampung Seri Serbang juga penting dalam memupuk kesedaran serta menggalakkan rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga kawasan yang dipulihara.
“Ekosistem bakau menyediakan habitat dan kawasan pembiakan bagi pelbagai hidupan, selain membantu menstabilkan kawasan pesisir pantai.
“Pemeliharaannya juga menyokong keseimbangan biodiversiti, termasuk habitat kelip-kelip yang menjadi antara tarikan semula jadi di kawasan ini,” katanya.

Katanya, Projek Cahaya Serbang adalah kesinambungan pembabitan Sabah Electricity dalam usaha pemeliharaan alam sekitar di negeri ini
Pada 2022, katanya syarikat menyumbang RM50,000 bagi projek Enrichment Corridor di Lembangan Maliau melalui penanaman rumput Napier sebagai sumber makanan alternatif gajah kerdil Borneo.
Beliau berkata, pada 2024, Sabah Electricity turut menyumbang RM50,000 kepada Jabatan Perhutanan Sabah bagi usaha pemulihan hutan terosot seluas 10 hektar di Ulu Kukut, Kota Belud.
“Seterusnya, pada tahun 2025, syarikat melaksanakan program penanaman bakau di Darau Wetland, Manggatal, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pemuliharaan ekosistem semula jadi.

“Melalui pelbagai inisiatif ini, Sabah Electricity terus berusaha menyokong pendekatan pembangunan yang mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
“Kerjasama dengan institusi akademik, komuniti dan pihak berkepentingan diharap dapat membantu memastikan usaha pemuliharaan dilaksanakan secara berterusan demi manfaat masyarakat dan generasi akan datang,” katanya. – Info X