KOTA KINABALU: Polis memperketatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan samseng jalanan pada hujung minggu apabila 78 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu di empat lokasi sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Operasi bermula tengah malam hingga jam 5 pagi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di Jalan Coastal, berhampiran Api-Api Centre.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama beberapa balai polis di daerah ini.
Katanya, seramai dua pegawai kanan dan 38 anggota terbabit dalam operasi yang diketuai Ketua BSPT IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Khazrul Shah Annuar Ahmad.

“Empat lokasi sekatan jalan raya ialah Jalan Aeropod, Kepayan; Jalan Coastal; Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Masjid Bandaraya serta Jalan UMS berhampiran One Sulaman dan University Apartment.
“Sebanyak 78 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shahrudin berkata, seorang lelaki turut ditahan di Jalan Coastal selepas disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Suspek dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian saringan awal air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan membendung kegiatan samseng jalanan selain meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala, khususnya pada hujung minggu, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya. – Info X