KOTA KINABALU: Perjalanan pulang seorang bapa bersama anak perempuannya berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Sabah Port, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, terperangkap di dalam Toyota Avanza sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9.58 malam.
Difahamkan, kedua-dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Baru, di sini, selepas lelaki terbabit mengambil anak perempuannya yang bekerja di Manggatal.

Difahamkan, sebuah treler yang sedang mengangkat kontena dari tepi Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay dipercayai hilang keseimbangan sebelum terbalik lalu menghempap kereta mangsa yang melalui jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain mengesahkan kejadian itu dan berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hannis Mokthar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum 14 anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, dua kren tiba pada jam 9.21 malam bagi membantu mengangkat kontena sebelum kereta mangsa berjaya dikeluarkan selepas lebih tiga jam operasi menyelamat.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas keadaan dipastikan selamat,” katanya. – Info X