RANAU: Seorang jururawat maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum terjunam kira-kira 30 meter ke dalam sungai di Kilometer 20, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Kampung Nalapak, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.58 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu Isuzu D Max dari arah Telupid sebelum dipercayai terbabas.
Katanya, kenderaan itu melanggar penghadang di sebelah kiri jambatan sebelum terjunam kira-kira 30 meter ke dalam sungai.
“Kenderaan mangsa dipercayai berada dalam keadaan terbalik sebelum penduduk kampung tampil memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, mangsa yang tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Lohan kira-kira jam 2 petang di lokasi kejadian,” ketika dihubungi, hari ini.
Mursalin berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, tujuh anggota bomba bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan sebelum memberikan rawatan awal dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Info X