KOTA KINABALU: Pemandu treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung tragedi kontena menghempap sebuah kereta sehingga meragut nyawa seorang bapa dan anak perempuannya di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena yang hilang keseimbangan ketika kerja memunggah muatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.
Katanya, ketika kejadian, pemandu treler terbabit sedang menaikkan kontena berkenaan ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dipandu mangsa melalui lorong kanan jalan menghala ke Pelabuhan Sepanggar.

“Bagaimanapun, kontena berkenaan secara tiba-tiba hilang keseimbangan sebelum terjatuh ke sebelah kanan lalu menghempap kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa terhimpit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba kira-kira jam 9.55 malam,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Likas pada jam 9.58 malam.
Katanya, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk proses bedah siasat.
“Pemandu treler lelaki berusia 49 tahun ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon di talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Terdahulu, media melaporkan dua individu maut selepas sebuah kontena terjatuh lalu menghempap kereta dinaiki mereka berhampiran Pelabuhan Sepanggar, petang semalam.
Operasi mengeluarkan kedua-dua mangsa dijalankan pasukan bomba dengan bantuan dua kren bagi mengalihkan kontena sebelum kereta yang terperangkap di bawahnya berjaya dikeluarkan selepas lebih tiga jam. – Info X