KOTA KINABALU: Penglibatan aktif dalam sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi platform penting melahirkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cergas, berdisiplin serta memiliki ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran tugas kepolisan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, aktiviti sukan turut memainkan peranan dalam memperkukuh semangat berpasukan, meningkatkan kecergasan dan membentuk disiplin kendiri dalam kalangan pegawai serta anggota polis.
Katanya, semua elemen itu penting bagi memastikan warga PDRM sentiasa bersiap siaga menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan ketangkasan bertindak, ketepatan membuat keputusan dan kestabilan emosi.
“Sukan bukan sekadar aktiviti riadah atau pertandingan, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi dan kesiapsiagaan anggota dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Kejayaan sesebuah pasukan juga bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya membabitkan kerjasama atlet, jurulatih, pengurus pasukan serta sokongan berterusan seluruh warga organisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan PDRM Kontinjen Sabah di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, majlis berkenaan menjadi platform menghargai pengorbanan, komitmen dan pencapaian atlet PDRM Sabah yang berjaya mengharumkan nama pasukan menerusi pelbagai kejohanan sukan.
Menurutnya, setiap kejayaan perlu dijadikan pembakar semangat untuk mencapai pencapaian lebih tinggi, manakala kelemahan yang dikenal pasti harus dijadikan ruang penambahbaikan.
Dalam pada itu, beliau mahu budaya bersukan dan aktiviti kecergasan diperkasakan secara berterusan dalam kalangan seluruh warga PDRM Sabah, bukan hanya tertumpu kepada atlet yang mewakili pasukan.
Katanya, usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu juga perlu dilaksanakan secara sistematik menerusi latihan, penyertaan pertandingan serta pemantauan prestasi bagi melahirkan atlet pelapis berkualiti.
“Mutu latihan, pengurusan pasukan dan persediaan pertandingan perlu terus dipertingkatkan, selain memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, pemulihan fizikal dan kebajikan atlet.
“Bagaimanapun, komitmen dalam sukan perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab hakiki kepolisan supaya tidak menjejaskan operasi dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Jauteh turut mengingatkan semua atlet dan warga PDRM Sabah supaya sentiasa menjunjung integriti, disiplin, kejujuran serta semangat kesukanan dalam setiap pertandingan.
Katanya, kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah pingat atau kejuaraan, tetapi juga kemampuan melahirkan anggota polis yang berkeperibadian mulia dan menjadi teladan kepada masyarakat.-Info X