Search

Insiden kontena hempap kereta disiasat, termasuk kesesuaian tempat letak kontena – Jauteh

October 19, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebuah kontena diletakkan di bahu Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, sebelum terjatuh menghempap kereta sehingga meragut nyawa dua beranak, Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan turut memberi tumpuan sama ada tindakan meletakkan kontena di kawasan berkenaan dilakukan secara sengaja atau disebabkan faktor lain yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, polis turut mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, selain meneliti aspek keselamatan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Walaupun kontena diletakkan di tepi jalan, saiz dan ketinggiannya boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya serta menimbulkan risiko keselamatan.

“Selain itu, proses mengalihkan kontena menggunakan jentera berat juga berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sukan PDRM Kontinjen Sabah di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk pengurusan pelabuhan bagi mencari penyelesaian terhadap masalah lambakan kontena di tepi jalan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan pemandu lori treler berusia 49 tahun sudah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang Ahad lalu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, maut selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena berhampiran Pelabuhan Sepanggar.

Siasatan awal mendapati sebuah lori treler berhenti di lorong kiri jalan untuk mengangkat kontena dari bahu jalan ke atas treler sebelum muatan berkenaan hilang keseimbangan lalu terjatuh menghempap kereta mangsa yang melalui kawasan itu.

Akibat kejadian, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 9.55 malam selepas operasi menyelamat mengambil masa lebih tiga jam.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.-Info X