Search

KESUNGGUHAN ADSZRAA ADHAWIYAH CURI TUMPUAN HANNAH

February 10, 2023

admin

KOTA KINABALU: Walaupun baru berusia lapan tahun namun kesungguhan seorang pemanah cilik sukan memanah tradisional dari Kampung Darau, Manggatal, baru-baru ini menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Hannah menyifatkan kanak-kanak perempuan bernama Adszraa Adhawiyah Mohd Aszrul sebagai seorang wira kecil dalam sukan memanah tradisional.

Mengadakan lawatan kerja ke Sabah pada awal minggu ini, Hannah berkata, jadual lawatan kerjanya ke Sabah terpaksa disusun semula bagi memenuhi permintaan kumpulan pemanah yang disertai Adszraa Adhawiyah agar beliau dapat melawat tempat latihan memanah di Kampung Darau.

“Bermula dari saat saya sampai, beliau berdiri dekat dengan saya dan sedaya upaya cuba untuk menerangkan mengenai sukan memanah tradisional.

“Untuk kanak-kanak yang berusia lapan tahun, beliau begitu berkeyakinan tinggi.

“Ketika saya sudah mula mahu beredar dan mahu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, tiba-tiba beliau memeluk saya dengan kuat dan saya beritahu kepadanya yang saya mahu melihat beliau menjadi juara dunia suatu hari nanti.

“Jujurnya, ketika itu saya berasa terharu semasa saya berjalan ke kereta,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah dalam rangka lawatannya berkesempatan meninjau tapak latihan memanah tradisioanal di Kampung Darau selain melakukan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan perkara yang berkaitan pembangunan sukan di negeri ini.

Sementara itu, Hannah berkata ia adalah keistimewaan dan tanggungjawab buat mereka yang mempunyai kuasa eksekutif di Putrajaya untuk memperbaiki kehidupan rakyat dalam negara ini.

“Setiap hari saya di Putrajaya sesekali tidak akan dibazirkan. Walaupun berada dalam portfolio baharu, setiap hari saya rasa bersyukur kepada Tuhan kerana diberi peluang bekerja dengan anak-anak Malaysia,” katanya. – Info X