RANAU: Seorang bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kandungnya, namun lain jadinya apabila lelaki itu disyaki tergamak merogol anak perempuannya yang baru berusia 13 tahun di daerah ini.
Suspek berusia 34 tahun yang berstatus pemastautin tetap ditahan malam tadi selepas ibu saudara mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian menimpa anak saudaranya itu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama bapa kandung dan ibu tirinya.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu tiri mangsa tiada di rumah kerana berada di Labuan.

“Suspek dipercayai masuk ke bilik tidur mangsa sebelum melakukan perbuatan rogol terhadap anak kandungnya itu.
“Susulan laporan yang diterima daripada ibu saudara mangsa, polis menahan suspek bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Katanya, polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dan tegas bagi memastikan individu yang terbabit dalam jenayah berkenaan dibawa ke muka pengadilan.
“Polis memandang serius kesalahan jenayah seksual terutama yang membabitkan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. – Info X