KINABATANGAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) meminta Parti Warisan menilai rekod pentadbirannya ketika mengetuai kerajaan negeri sebelum mempertikaikan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika ini.
Ketua Penerangan (Penaja) PGRS Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah, berkata SMJ 2.0 sedang dilaksanakan secara terancang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata projek bekalan air, jalan raya dan elektrik sedang dilaksanakan, justeru pembangunan negeri perlu dinilai berdasarkan perancangan dan kemajuan pelaksanaan, bukannya seolah-olah semua projek mampu disiapkan dalam masa singkat.
Mengulas kenyataan ADUN Likas, Tham Yun Fook, yang mempersoalkan hala tuju SMJ 2.0 selepas dibentangkan Hajiji pada Konvensyen GRS di Kudat, Aksyah berkata pembangunan memerlukan perancangan teliti sebelum dilaksanakan.
“Namanya pun pelan perancangan. Kita merancang secara teliti, kemudian kita laksana. Mana ada projek mega atau infrastruktur asas siap dalam satu malam,” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Aksyah turut mempersoalkan kritikan Warisan terhadap tempoh pelaksanaan projek infrastruktur, sedangkan presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, didakwa menyatakan keperluan tiga tahun untuk menyelesaikan masalah berkenaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Beliau juga mendakwa keputusan kerajaan terdahulu membatalkan sistem Project Delivery Partner (PDP) bagi Lebuhraya Pan Borneo dan menamatkan konsesi air menyumbang kepada cabaran infrastruktur yang perlu ditangani kerajaan negeri ketika ini.
Mengenai prestasi kewangan, Aksyah berkata hasil Sabah di bawah pentadbiran Hajiji meningkat menghampiri RM7 bilion, manakala dana rizab negeri mencecah RM8.6 bilion.
Beliau turut membandingkan prestasi itu dengan pentadbiran Warisan Plus pimpinan Shafie, yang menurutnya menyaksikan pertumbuhan ekonomi negeri merosot ke paras negatif.
Dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Aksyah menegaskan usaha memperjuangkan hak Sabah tidak hanya digerakkan Warisan, sebaliknya turut dilaksanakan kerajaan negeri melalui rundingan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, sebanyak 13 tuntutan MA63 telah diselesaikan secara rasmi di bawah pentadbiran Hajiji, termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan kuasa teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR).
Bagi tuntutan pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah, beliau berkata rundingan masih diteruskan melalui saluran rasmi, manakala pemberian interim meningkat kepada RM1.5 bilion sementara formula akhir dimuktamadkan.
Dalam sektor minyak dan gas, Aksyah berkata penubuhan SMJ Energy Bhd memperluas penyertaan Sabah dalam industri berkenaan melalui pegangan ekuiti dan kontrak perkongsian pengeluaran (Production Sharing Contract atau PSC).
Menurutnya, penglibatan itu turut membuka peluang pekerjaan dan kontrak kepada vendor tempatan, selain menjana dividen untuk menyokong pembangunan, kebajikan dan pendidikan rakyat.
Dalam bidang pendidikan, beliau berkata peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM155 juta tahun ini.
Katanya, program BUDI, BAGUS, BAKTI dan BAIK turut memberi manfaat kepada hampir 480,000 pelajar Sabah.
Aksyah berkata hasil negeri turut dimanfaatkan untuk pelbagai inisiatif rakyat, termasuk bantuan persekolahan, program kebajikan dan pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau menggesa pembangkang supaya menilai usaha kerajaan berdasarkan fakta dan pelaksanaan, bukannya membangkitkan kritikan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Sabah.
“Rakyat Sabah sudah matang. Mereka mahukan pembinaan, bukannya dongengan politik air liur,” katanya. – Info X