Search

Bunuh pekerja ladang, warga asing dipenjara 40 tahun

October 21, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipenjara maksimum 40 tahun selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja ladang menggunakan tombak, tiga tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Tinggi Tawau pada prosiding penghakiman di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos, di sini, pada Rabu.

Steve memerintahkan tertuduh, Lipus Linus, 53, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Julai 2023.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Bedasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati membunuh mangsa yang berusia 33 tahun di sebuah ladang, di sini, antara jam 11.25 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 19 Julai 2023.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Zahbia Ophent memohon hukuman ringan dengan mendakwa isteri dan anak tertuduh dibunuh mangsa, namun dakwaan berkenaan tidak disokong sebarang bukti.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fillanny Siji, bagaimanapun memohon hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh berdasarkan fakta kes, termasuk tertuduh dan mangsa tidak saling mengenali.

Jika mahkamah tidak menjatuhkan hukuman mati, pihak pendakwaan memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara maksimum 40 tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun.

Seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga warga asing dipercayai keluar memancing bersama dua rakannya di kawasan berhampiran ladang sebelum meninggalkan mereka terlebih dahulu.

Tidak lama kemudian, dua rakannya terdengar jeritan mangsa sebelum melihat tertuduh melintasi tempat mereka memancing sambil membawa sebatang tombak.

Ketakutan dengan kejadian itu, kedua-dua rakannya melarikan diri untuk mendapatkan bantuan rakan lain sebelum menemui mangsa terbaring berlumuran darah di kawasan ladang.

Pemeriksaan kemudian mendapati mangsa mengalami kesan luka di kepala, tangan, dada dan perut.

Siasatan Jabatan Kimia Malaysia kemudian mengesan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh pada batang tombak yang digunakan dalam pembunuhan itu.-Info X