KOTA KINABALU: Sabah memanfaatkan kelestarian sumber aslinya untuk menarik pelaburan, memperkukuh akses pasaran dan menjana peluang ekonomi bernilai lebih tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kelestarian bukan lagi sekadar soal perlindungan alam sekitar atau pematuhan peraturan, walaupun tanggungjawab itu kekal penting.
“Ia kini semakin mempengaruhi hala tuju pelaburan, keupayaan perniagaan menembusi pasaran antarabangsa serta tahap daya saing industri kita pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis perasmian Persidangan Tindakan Lestari 2026 (SAC 4.0) di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Rabu.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Persidangan yang julung kali diadakan di sini itu dianjurkan oleh Control Union Malaysia dengan sokongan Kedutaan Kerajaan Belanda di Malaysia.
Hajiji berkata, Sabah bertuah kerana memiliki kekayaan sumber asli yang luar biasa dengan hutan, biodiversiti, sungai, kawasan pesisir pantai dan ekosistem marin antara aset terpenting negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun menyampaikan hadiah kepada Juara Pertandingan From Children to Children (FCTC), dari SJK (C) Chung Hwa Tamparuli sempena Majlis Perasmian Sustainable Action Conference 2026 (SAC 4.0) di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada Rabu.
“Sumber-sumber ini menyokong banyak industri utama kita, tetapi yang lebih penting, menjadi sumber kehidupan kepada begitu ramai rakyat Sabah.
“Oleh itu, kita perlu menyedari bahawa usaha melindungi alam sekitar dan mengejar pembangunan ekonomi bukanlah dua matlamat yang bertentangan.
“Cabaran kita adalah untuk mencapai kedua-duanya. Kita mesti membangunkan sumber-sumber ini secara bertanggungjawab supaya ia terus menyediakan peluang dan kemakmuran kepada generasi akan datang,” katanya.
Ketua Menteri berkata, pendekatan itu selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Pertanian, perindustrian dan pelancongan kekal sebagai tonggak penting ekonomi kita, manakala kelestarian perlu semakin menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor-sektor ini.
“Agenda Ekonomi Biru kita juga menawarkan peluang yang besar, khususnya dalam sektor perikanan mampan, akuakultur, bioteknologi marin, aktiviti maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Kita mahu industri-industri ini terus berkembang, namun kejayaan jangka panjangnya bergantung kepada sejauh mana kita mengurus sumber-sumber yang menjadi asas kepada industri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip yang sama turut terpakai kepada hutan dan paya bakau di negeri ini yang berperanan melindungi biodiversiti, menyimpan karbon serta memperkukuh daya tahan masyarakat pesisir pantai.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun menyempurnakan gimik Perasmian Sustainable Action Conference 2026 (SAC 4.0) di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu pada Rabu.
“Semua ini bukan sekadar aset alam sekitar, tetapi mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang nyata. Apabila sungai tercemar atau ekosistem marin mengalami kerosakan, kesannya turut dirasai oleh nelayan, petani, pengusaha pelancongan dan masyarakat yang bergantung kepadanya.
“Justeru, pengurusan yang bertanggungjawab bukan sahaja menjadi dasar alam sekitar yang baik, tetapi juga dasar ekonomi yang bijak,” katanya.
Hajiji berkata, satu lagi tumpuan utama ialah sektor tenaga, dengan Kerajaan Negeri menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 sedang berusaha memperkukuh jaminan bekalan tenaga, meningkatkan kebolehpercayaan bekalan serta membuka peluang dalam tenaga boleh baharu dan teknologi baharu.
“Kita menyedari bahawa Sabah memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi dan mampu milik bagi menyokong pertumbuhan industri dan pelaburan. Pada masa yang sama, kita perlu meningkatkan kelestarian dan kecekapan sistem tenaga kita secara berperingkat.
“Prinsip yang sama terpakai kepada bangunan, infrastruktur dan bandar yang kita bangunkan hari ini. Keputusan yang kita buat sekarang akan mempengaruhi kecekapan penggunaan tenaga dan sumber oleh masyarakat untuk tempoh bertahun-tahun akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, satu lagi pertimbangan penting ialah perubahan terhadap jangkaan dan keperluan pasaran antarabangsa.
“Bagi industri pertanian, perhutanan, perikanan dan akuakultur Sabah, apa yang kita hasilkan bukan lagi satu-satunya perkara yang penting, tetapi juga sejauh mana pengeluaran itu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Kebolehkesanan, piawaian alam sekitar dan tadbir urus yang baik semakin menjadi faktor penting dalam menentukan akses pasaran dan daya saing.
“Kita mesti membantu industri tempatan, termasuk perniagaan kecil, membuat persediaan menghadapi perubahan ini. Penyesuaian kepada piawaian yang lebih tinggi memerlukan pelaburan, pengetahuan dan masa.
“Oleh itu, pendekatan kita mestilah praktikal, iaitu meningkatkan piawaian sambil memastikan perniagaan tempatan tidak ketinggalan,” katanya. – Info X