Search

LPKP timbang tindakan tegas terhadap pengendali kenderaan perdagangan

October 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah akan mengambil tindakan terhadap pengendali kenderaan perdagangan yang terbabit dalam insiden kontena menghempap kereta hingga menyebabkan dua beranak maut di Jalan Sepanggar, baru-baru ini.

Pengerusinya, Senator Datuk Phoong Jin Zhe, berkata tindakan itu akan diputuskan pada mesyuarat LPKP Sabah, 30 Oktober ini yang akan membincangkan mengenai insiden itu.

Katanya, penggantungan dan pembatalan lesen adalah antara tindakan yang boleh diambil terhadap pengendali kenderaan perdagangan terbabit.

“LPKP Sabah memandang serius insiden tragis di Jalan Sepanggar yang telah meragut dua nyawa baru-baru ini. Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau pelanggaran peraturan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, pihak lembaga akan bermesyuarat pada 30 Oktober 2026 (Jumaat) bagi membincangkan dan memuktamadkan tindakan sewajarnya terhadap pengendali kenderaan perdagangan yang terlibat.

“Ia termasuk mempertimbangkan syor penggantungan atau pembatalan lesen berkenaan, tertakluk kepada hasil siasatan dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, LPKP Sabah juga akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang Ahad lalu, Mohd Jadi Pelbi, 53, bersama anak perempuannya, Norfaieza Mohd Jadi, 24, meninggal dunia selepas Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena yang hilang keseimbangan ketika kerja memunggah muatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati lori kontena jenis Hino berkenaan berhenti di lorong kiri jalan untuk menjalankan kerja memunggah kontena yang diletakkan di bahu jalan.

Katanya, ketika kejadian, pemandu treler terbabit sedang menaikkan kontena berkenaan ke atas treler, manakala Toyota Avanza yang dipandu mangsa melalui lorong kanan jalan menghala ke Pelabuhan Sepanggar. – Info X