Search

Pelajar tingkatan lima maut kemalangan dua motosikal

October 21, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang pelajar tingkatan lima maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Beringgis-Kawang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pelajar lelaki berusia 17 tahun berkenaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, manakala seorang lagi remaja lelaki sebaya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati sebuah motosikal Honda Wave yang ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam perjalanan menuju ke Beringgis.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Demak Spark yang ditunggang pelajar berkenaan dipercayai keluar dari bahu jalan sebelum membuat pusingan U secara mengejut.

“Tindakan itu menyebabkan kedua-dua motosikal terbabit kemalangan sehingga mengakibatkan penunggang Demak Spark meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Penunggang Honda Wave pula mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Papar.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan selamat sebelum melakukan pusingan U bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X