SEMPORNA: Polis sedang mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan reput di Kilometer 15, Jalan Semporna-Tawau, di sini, pada 19 September lalu.
Lelaki terbabit ditemui kira-kira jam 11.29 pagi tanpa sebarang dokumen pengenalan diri sehingga identitinya masih belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, proses bedah siasat sudah dijalankan pada 13 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati kematian lelaki itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.
“Sehingga kini, identiti lelaki berkenaan masih belum dikenal pasti dan jasadnya ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Semporna sementara menunggu tuntutan waris.
“Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tan berkata, individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jamal Tampak di talian 013-2111667 atau Balai Polis Semporna di 089-782020.
Katanya, orang ramai juga boleh hadir ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu mengenal pasti identiti lelaki terbabit. – Info X