TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mengacukan parang dan mengugut untuk membunuh abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Rancangan Kalabakan, di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek berusia 30 tahun dipercayai mengamuk secara tiba-tiba sebelum mengajak abangnya bergaduh sambil mengacukan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama isteri dan kedua-dua ibu bapanya.
Katanya, suspek dipercayai mengamuk tanpa diketahui puncanya sebelum bertindak mengugut untuk membunuh abang kandungnya.
“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan berjaya menahan suspek di luar sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kira-kira jam 9.45 malam, hari sama.
“Polis turut merampas sebilah parang bersarung yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang bentuk ugutan menggunakan senjata tidak boleh dipandang ringan.
“Orang ramai dinasihatkan menyelesaikan perselisihan faham secara aman dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya berdepan ancaman keselamatan,” katanya. – Info X