RANAU: Keasyikan seorang lelaki memasak air ketum terbantut apabila kegiatannya dihidu polis yang menyerbu sebuah kampung di daerah ini, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 10.40 malam itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan ditahan ketika sedang memasak cecair dipercayai ketum, manakala seorang lagi suspek berusia 31 tahun turut diberkas.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan dijalankan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan bantuan anggota Pondok Polis Lohan hasil risikan serta maklumat orang awam.
Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua kotak mengandungi 60 kilogram serbuk dipercayai ketum yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan.

“Suspek berusia 31 tahun menunjukkan sebuah kenderaan sebelum pemeriksaan menemukan dua kotak berisi serbuk dipercayai ketum di bahagian tempat duduk penumpang belakang.
“Kedua-dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkenaan.
Katanya, Program Kesedaran Penyalahgunaan Ketum Komuniti Ranau yang diadakan pada 26 Ogos lalu turut memberi impak positif terhadap kesedaran masyarakat.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini,” katanya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222,” katanya. – Info X