Search

Siapkan jajaran Pan Borneo Putatan ke Tuaran akhir tahun ini – Mustapha

October 24, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo di jajaran Putatan-Penampang-Inanam-Sepanggar-Tuaran, di sini diarah menyiapkan projek menjelang akhir tahun ini.

Arahan itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, sebagai langkah untuk menyuraikan aliran trafik di laluan sedia ada yang ketika ini berdepan masalah kesesakan.

Tiga pakej kerja terbabit iaitu pakej kerja enam, tujuh dan lapan, katanya sudah hampir siap, namun belum dibuka sepenuhnya berikutan ada beberapa laluan masih dalam pembinaan.

“Saya sendiri minta supaya kerja pembinaan di jajaran berkenaan disiapkan hujung tahun ini, hujung tahun ini kena siap. Kalau laluan Pan Borneo ini siap, aliran trafik dapat disuraikan.

“Maknanya, kenderaan yang tidak singgah di Kota Kinabalu, iaitu mereka yang menuju terus ke Beaufort, Papar, boleh guna laluan ini.

“Setakat ini, saya dimaklumkan kerja pembinaan sudah 95 peratus siap, hanya ada beberapa bahagian lagi yang belum siap. Kita akan pantau dan pastikan ia siap hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Madani Kita @ Sepanggar di Manggatal, dekat sini, pada Sabtu.

Mustapha mengakui, tiga pakej kerja yang disasar untuk menyuraikan aliran trafik di kawasan bandar raya Kota Kinabalu itu adalah antara pakej kerja Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang mengalami kelewatan dan dianggap kritikal berikutan membabitkan laluan di kawasan bandar.

“Jadi kita berharap jajaran Lebuhraya Pan Borneo ini disiapkan pada akhir tahun ini supaya kita dapat melegakan kesesakan trafik di laluan sedia ada sekarang,” katanya.

Mengenai kesesakan lalu lintas di Sepanggar, khususnya sebelum memasuki jajaran Lebuhraya Pan Borneo dekat Kampung Tebobon, di sini, Mustapha berkata masalah berpunca daripada penumpuan trafik di laluan sedia ada yang turut menjadi laluan kenderaan berat.

Keadaan itu, katanya menyebabkan beberapa laluan sering mengalami kerosakan, terutama ketika hujan dan kerosakan masih berulang walaupun sudah dibaiki berikutan struktur jalan yang lemah.

“Kerosakan jalan yang berlaku memang dibaiki, cuma sekarang ini isunya ia tidak dapat bertahan, sebab menjadi laluan harian. Tapi, kita sudah minta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor untuk memastikan jalan ini dapat dilalui dengan selamat oleh pengguna jalan raya,” katanya.

Mengenai Program Madani Kita @ Sepanggar, Mustapha berkata program itu dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah dengan penyertaan kira-kira 80 peratus golongan belia.

Program yang dihadiri lebih 6,000 peserta dan pengunjung itu katanya adalah platform turun padang untuk membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di Parlimen Sepanggar.

Selain pameran daripada 23 agensi kerajaan, program itu juga dimeriahkan dengan acara larian Kokol Ultra 2026 dengan jarak larian hingga 70 kilometer.

Pada majlis sama, Mustapha turut menyampaikan bakul makanan kepada penerima bantuan dari golongan kurang berkemampuan dari sekitar Parlimen Sepanggar. – Info X