Search

Bina fasiliti pelupusandadah di Sabah – Masiung

October 24, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Fasiliti pelupusan barang kes narkotik di Sabah yang dirampas pihak berkuasa perlu dibina di negeri ini jika Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersetuju menempatkan operasi pusat itu di negeri ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata ada kewajaran infrastruktur keselamatan berimpak tinggi itu diuruskan di wilayah ini berbanding menghantarnya ke fasiliti luar.

“BBC melihat bahan terlarang yang dirampas pihak berkuasa termasuk dadah dan bahan kimia di Sabah mempunyai kuantiti yang besar dan ia satu pembaziran besar jika pelupusan terpaksa diangkut ke Semenenajung Malaysia.

“Jika KDN bersetuju, BBC bersedia memainkan peranan bersama kerajaan negeri berhubung penyediaan tapak tanah untuk cadangan tersebut,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Telupid/Tongod, di sini, pada Sabtu.

Katanya, bahan terlarang yang dirampas pihak berkuasa membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) mempunyai kuantiti yang besar setiap tahun dan ia boleh menyokong pembinaan baharu fasiliti itu di Sabah.

Masiung berkata, proses penghantaran merentas lautan untuk urusan pelupusan boleh menyumbang kepada risiko integriti dalam rantaian pengangkutannya.

ADUN Kuamut itu berkata, urusan pelupusan bahan itu juga menggunakan pengangkutan khas yang melibatkan kawalan keselamatan ketat dengan kos yang tinggi.

Berikutan itu, Masiung menegaskan, penubuhan pusat setempat di Sabah dapat mengurangkan kos logistik yang sangat tinggi berbanding keperluan menguruskan bahan terlarang itu ke Negeri Sembilan.

“Penyimpanan dadah dalam kuantiti yang besar bagi tempoh yang lama di stor kontinjen Sabah boleh terdedah dengan risiko keterisian yang tinggi dalam kalangan rantaian pengurusan.

“Dengan adanya pusat pelupusan di Sabah, bahan terlarang seperti dadah dan bahan kimia boleh dilupuskan dengan kadar segera sebaik sahaja mendapat perintah mahkamah,” katanya.

Masiung berkata, statistik menunjukan nilai rampasan dadah di Sabah mencecah jutaan ringgit hampir setiap bulan, menunjukkan perlunya pembinaan sebuah fasiliti pelupusan setempat di sini.

Pada majlis itu Masiung turut menyampaikan sebuah kereta pacuan empat roda sebagai fasiliti sokongan pentadbiran kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad, Tongod.

Kenderaan itu disumbangkan syarikat Borneo Cement Sabah Sdn Bhd sebagai sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR). – Info X