KOTA KINABALU: Seramai 93 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 15 operasi penguatkuasaan di enam daerah seluruh negeri ini.
Operasi selama empat hari bermula 20 hingga 23 Oktober lalu itu dijalankan di Kota Kinabalu, Kudat, Keningau, Ranau, Lahad Datu dan Semporna.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 255 individu diperiksa dalam operasi berkenaan sebelum 93 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut kenyataan itu, mereka yang ditahan terdiri daripada 64 warga Filipina, 18 warga Indonesia dan 11 warga Pakistan.
“Bagi warga Filipina, mereka terdiri daripada 18 lelaki, 21 wanita, lapan kanak-kanak lelaki dan 17 kanak-kanak perempuan.

“Tahanan warga Indonesia pula membabitkan enam lelaki, lima wanita, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan, manakala semua 11 warga Pakistan adalah lelaki dewasa,” katanya.
JIM Sabah memaklumkan, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras kehadiran PATI selain mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di lokasi strategik seluruh Sabah bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) JIM,” katanya. – Info X