Search

TIADA KEPERLUAN TAMBAH PASUKAN SAR DI TURKIYE KETIKA INI – ARMIZAN

February 10, 2023

admin

PAPAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan tiada keperluan bagi menambah petugas pasukan mencari dan penyelamat (SAR) di Turkiye ketika ini.

Armizan berkata, ia kerana bantuan-bantuan kemanusiaan lain sudah dihantar melalui Kementerian Pertahanan termasuklah pasukan yang lengkap untuk membina hospital medan di kawasan terjejas gempa bumi.

“Pihak saya tanggungjawab berkaitan penghantaran pasukan SAR yang diselaras di bawah tanggungjawab Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala penyelarasan secara keseluruhan di bawah bidang tugas Kementerian Luar Negeri.

“Penghantaran terbaru iaitu pasukan perubatan kecemasan (EMT) termasuk hospital medan pula di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan.

“Kita sudah menghantar dua pasukan untuk misi SAR yang terdiri 70 orang pertama pada 6 Februari selain pasukan kedua bertolak dua hari lalu.

“Keseluruhannya, seramai 140 orang melibatkan semua pasukan kita sudah berada di kawasan bencana.

“Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga kini sudah mewujudkan tabung bantuan selain bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu lalu.

“Kerajaan Malaysia telah peruntukkan bantuan sebanyak satu juta USD selain Sultan Johor turut menyumbangkan satu juta USD sebagai bantuan awal untuk diagihkan dalam bentuk keperluan diperlukan oleh kerajaan Turkiye.

“Negara akan bantu mengikut keperluan mereka sebab kita tidak mahu menghantar barang-barang yang bukan keperluan mendesak di sana.

“Oleh itu, kita bekerjasama rapat dengan keduataan Turkiye di Kuala Lumpur bagi mengetahui bentuk keperluan tersebut,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Kogopon, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan menyatakan pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan orang awam dan ia bakal diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri menerusi tabung khas yang sudah diwujudkan.

“Sekiranya sumbangan dalam bentuk barangan, kita melalui Nadma akan semak dengan kedutaan Turkiye sama ada barangan yang disumbangkan itu bersesuaian atau sebaliknya.

“Antara barangan yang diperlukan ketika ini termasuklah baju sejuk dan selimut,” katanya.

Terdahulu, gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pada jam 4.17 pagi pada Isnin lalu. Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 7 kilometer, diikuti dengan dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep, masing-masing berukuran 6.4 dan 6.5 pada skala Richter. – Info X