TAWAU: Kehadiran polis di kawasan rumah pekerja sebuah kilang batu bata di Jalan Stesen TV, di sini, Rabu lalu, membawa kepada penahanan tiga lelaki warga asing selepas sebotol cecair disyaki air ketum ditemukan di atas meja.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun berada berhampiran meja berkenaan sebelum pemeriksaan polis menemukan botol plastik berwarna hijau berisi cecair keperangan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Pondok Polis Kawasan (PPK) Kinabutan dan PPK Titingan bersama Strike Team Balai Polis Tawau hasil maklumat awam.
Katanya, pemeriksaan di kawasan rumah pekerja kilang batu bata itu membawa kepada penemuan cecair disyaki air ketum dengan anggaran sebanyak 1,000 mililiter (ml).
“Botol plastik berwarna hijau itu ditemukan di atas meja di hadapan ketiga-tiga suspek ketika pemeriksaan dijalankan.
“Cecair berwarna keperangan di dalam botol berkenaan disyaki air ketum dan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, semakan awal mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurutnya, semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Polis memandang serius sebarang kegiatan menyalahi undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terbabit,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan kegiatan sedemikian selain menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha penguatkuasaan dan pencegahan jenayah. – Info X