SANDAKAN: Tiga individu parah manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan berhampiran Petron Taman Tshun Ngen, Batu 5, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.47 pagi itu, kemalangan membabitkan Toyota Vios, Proton Saga, pacuan empat roda Isuzu D-Max dan lori Isuzu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
Katanya, jentera bomba tiba pada 11.53 pagi dan mendapati kesemua sembilan mangsa sudah keluar dari kenderaan masing-masing dengan bantuan orang awam.
“Kesemua mangsa mengalami kecederaan, dengan tiga daripadanya parah manakala enam lagi cedera ringan.
“Pasukan bomba memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum melakukan kerja pembersihan sisa minyak di atas jalan raya bagi mengelakkan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sandakan menggunakan jentera EMRS, ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurutnya, antara mangsa yang parah ialah dua wanita masing-masing berusia 34 dan 61 tahun serta seorang lagi wanita yang identitinya belum dikenal pasti.
“Dua kanak-kanak lelaki berusia lima dan lapan tahun turut terbabit dalam kemalangan itu dan mengalami trauma.
“Operasi yang turut dibantu KKM, APM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan pada 12.27 tengah hari selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya.-Info X