PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan lanjut berhubung status pelaksanaan 13 projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah yang ditangguhkan Surat Setuju Terima (SST).
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick, berkata penjelasan itu penting bagi memberi kepastian sama ada projek berkenaan akan diteruskan atau sebaliknya.
Beliau berkata, penjelasan tambahan masih diperlukan walaupun sudah disentuh oleh Menteri Kewangan II pada penggulungan Belanjawan 2027 dan sebelumnya oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Apapun penjelasan, saya fikir Ahli-Ahli Parlimen dan rakyat Sabah, rakyat Sarawak serta rakyat Semenanjung juga memerlukan penjelasan tambahan.
“Bagi saya selaku Ahli Parlimen Penampang, kita mahu penjelasan mengenai status 13 projek yang Surat Setuju Terimanya ditangguhkan. Apa status jalan ini sekarang?
“Saya telah bertanya sama ada ia dibatalkan atau dibawa ke tahun berikutnya untuk pelaksanaan, tetapi belum ada penjelasan setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan projek naik taraf Jalan Terian dan Jalan Buayan, di sini, pada Jumaat.
Ewon berkata, 13 projek terbabit perlu diteruskan kerana sudah lama dirancang dan dikemukakan oleh pelbagai pihak, termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan wakil rakyat.
“Pada saya, kita mahu projek ini diteruskan sama ada tahun hadapan ataupun tahun yang berikutnya kerana kita sudah lama merancang. Unit Perancang Ekonomi Negeri, JKR dan wakil-wakil rakyat mengemukakannya banyak kali dalam pelbagai platform.
“Jadi, kita tidak boleh pinggirkan hak rakyat yang menanti kemudahan jalan raya luar bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan taklimat kepada Ahli-Ahli Parlimen dari pihak kementerian berkaitan bagi memperjelas status projek yang terlibat dalam penangguhan SST itu.
Katanya, perkara itu bukan sahaja melibatkan Sabah, malah turut memberi kesan kepada projek di Sarawak dan Semenanjung.
Ewon berkata, sekiranya projek yang sudah diluluskan itu tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini disebabkan kekangan peruntukan, keutamaan sewajarnya diberikan untuk pelaksanaannya pada tahun depan.
“Kita mahu projek yang telah dipersetujui dan diluluskan ini dapat diteruskan. Kalau tidak pada tahun ini kerana faktor peruntukan, sepatutnya ada ruang untuk diberikan keutamaan bagi dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Ini pendirian dan pandangan saya selaku Ahli Parlimen Penampang, yang juga bercakap mewakili kawasan saya (Kadamaian) kerana ada satu projek jalan luar bandar yang terkesan akibat penangguhan SST,” katanya. – Info X