Search

Nekad terjun sungai selamatkan pelancong, sembilan pemuda terima penghargaan

October 31, 2026

Info X Reporters

TUARAN: Keberanian sembilan remaja yang nekad terjun ke sungai berarus deras bagi menyelamatkan dua pelancong wanita daripada lemas di Tamparuli, awal bulan ini, mendapat pengiktirafan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Kesemua mereka diraikan dalam satu majlis penghargaan khas yang diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, bersama seorang kakitangan stesen minyak yang berjaya memadamkan kebakaran membabitkan sebuah motosikal di Penampang.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Zon Kota Kinabalu, Johari Dzulkiflie, serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Putatan.

Dalam kejadian pada 1 Oktober lalu, dua pelancong wanita berdepan detik cemas apabila Perodua Bezza dinaiki mereka dihanyutkan arus deras ketika melalui Jambatan Low Level Crossing Tamparuli atau dikenali sebagai Jambatan Solungkoi.

Menyedari nyawa kedua-dua wanita itu dalam bahaya, sembilan pemuda tempatan bertindak pantas terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka.

Tindakan berani itu berjaya menyelamatkan kedua-dua pelancong sebelum kenderaan dinaiki mereka tenggelam sepenuhnya.

Sembilan individu yang menerima penghargaan ialah Danny Effnndy Voo, Abdul Rafi Abdullah, Mackdoleno Solimin, Dr Ebon Gansoi, Jafrin Bakrin, Ramlan Suhaji, Martin Gumpangang, Hettni Tono Prianto dan Cornelius Gukod yang juga rakan media.

Sementara itu, seorang kakitangan stesen minyak Shell Donggongon, Penampang, Noor Emelya Abdul Latif turut menerima penghargaan atas tindakan pantasnya memadamkan kebakaran di sebuah pam minyak pada 16 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, sebuah motosikal terbabit dalam kebakaran sebelum Noor Emelya bertindak menggunakan alat pemadam api mudah alih bagi mengawal api.

Kecekapan dan ketenangannya mengendalikan situasi kecemasan itu berjaya memadamkan kebakaran dalam masa singkat, sekali gus mengelakkan api daripada merebak.

Pada majlis sama, Pasukan Bomba Sukarela Pantai Dalit, Tuaran turut menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka membantu masyarakat ketika kecemasan.

Pasukan berkenaan turut menerima sumbangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi menyokong usaha mereka dalam operasi kecemasan dan meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran.

Penghargaan itu menjadi simbol pengiktirafan terhadap keberanian orang awam yang sanggup bertindak membantu menyelamatkan nyawa tanpa mengharapkan sebarang balasan. – Info X