Search

Liga Super: ‘Panas’ dalam hujan di Likas, 3 mata di tangan Sang Badak

October 31, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sang Badak menambah tiga mata setelah memenangi aksi Liga Super 2-0 menentang Terengganu FC yang berlangsung dalam suhu ‘panas’ meskipun dibasahi hujan di Stadium Likas, malam ini.

Perlawanan yang dilewatkan hampir setengah jam disebabkan hujan lebat petang tadi itu ‘panas’ berikutan insiden pergaduhan yang berakhir dengan layangan kad merah terhadap pemain pelawat pada minit-minit akhir babak pertama.

Insiden tidak diingini itu berlaku selepas pemain Terengganu, Romel Oswaldo Morales dilihat mengasari beberapa pemain Sabah, termasuk menjatuhkan penjaga gol, Juan Flere hingga terbaring kesakitan di padang.

Insiden itu memaksa pengadil, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah melayangkan kad merah terhadap Morales, menyebabkan Terengganu kekurangan seorang pemain sehingga tamat perlawanan.

Sebelum itu, Tuan Mohd Yaasin turut menyemak video bantuan pengadil (VAR) bagi mengesahkan kad merah yang dilayangkan terhadap Morales akibat kekasaran yang dilakukannya.

Ketika insiden itu, pasukan tuan rumah sudah mengukuhkan kedudukan dengan dua gol, masing-masing dijaringkan Enrique Lopez Fernandez pada minit ke-19 dan Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-24.

Gol pertama Sabah yang dijaringkan Fernandez terhasil akibat kesilapan pemain pertahanan dan penjaga gol Terengganu, Mohd Suhaimi Husin gagal menghalang bola yang datang dari arah tengah padang.

Lebih malang, Mohd Suhaimi yang meluru ke depan untuk menyelamatkan keadaan terlepas bola sebelum melantun ke arah gawang yang ditinggalkan di belakangnya.

Skuad Sang Badak bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan bermain dengan 11 orang berbanding 10 pemain lawan pada babak kedua untuk menambah jaringan.

Pasukan Terengganu yang mengubah strategi perlawanan dan lebih agresif pada babak kedua juga gagal mencipta jaringan bagi menafikan kemenangan tuan rumah menyebabkan kedudukan kekal 2-0 yang memihak kepada Sabah hingga tamat perlawanan.

Perlawanan itu dijadual bermula pada jam 5 petang tadi, namun dilewatkan berikutan hujan lebat di ibu negeri, petang tadi.

Hujan renyai-renyai juga berterusan sepanjang perlawanan menyebabkan padang licin dan berair, sekali gus menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan. – Info X