PAPAR: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 30, Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Papar – Beaufort, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton S70 yang dipandu lelaki berusia 24 tahun bersama seorang penumpang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Beaufort.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang mangsa dipercayai memasuki laluan kereta berkenaan.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan sehingga mangsa terjatuh di atas jalan raya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Heryan berkata, pemandu dan penumpang Proton S70 berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan keadaan selamat sebelum memasuki atau melintasi laluan kenderaan lain,” katanya.
Sementara itu, beliau menambah, pemandu dan penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap pergerakan kenderaan di sekeliling, mengekalkan jarak keselamatan yang bersesuaian serta mengelak sebarang tindakan berisiko yang boleh mengundang kemalangan.
“Ingatlah, kecuaian sesaat mampu meragut nyawa dan meninggalkan kesedihan yang berpanjangan kepada keluarga.
“Utamakan keselamatan kerana setiap perjalanan membawa harapan untuk pulang dengan selamat,” katanya. – Info X