TAWAU: Seorang ibu bersama dua anak lelakinya maut manakala anak perempuan berusia 15 tahun cedera parah selepas Perodua Alza dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok kelapa sawit di Batu 14, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun bersama dua anak lelakinya berusia 30 dan 28 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lelaki berusia 28 tahun yang memandu kenderaan berkenaan meninggal dunia bersama abangnya yang duduk di tempat penumpang hadapan, manakala ibu mereka berada di tempat duduk belakang.
Seorang lagi penumpang belakang, iaitu adik perempuan pemandu berusia 15 tahun, terselamat namun mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang rusuk dan perut.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati keempat-empat mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bahagia, Sandakan menuju ke bandar Tawau.
Katanya, ketika melalui jalan lurus di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan dipandunya terbabas ke bahu kiri jalan yang berumput.

“Kenderaan berkenaan kemudian merempuh sebatang pokok kelapa sawit sebelum terseret sejauh kira-kira 60 meter.
“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbalik sebelum berhenti, menyebabkan tiga mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rosdi berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.16 pagi.
Menurutnya, remaja perempuan yang terselamat dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Tawau dan kini menerima rawatan di Zon Merah Jabatan Kecemasan.
“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 8 malam ini.
“Pemeriksaan awal turut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu, manakala kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM,” katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi bebas bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beliau berkata, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas.
“Pemandu juga diingatkan supaya memiliki lesen memandu yang sah serta mematuhi had laju ditetapkan.
“Keselamatan diri dan penumpang perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh meragut nyawa,” katanya. – Info X