Search

Lelaki patah jari akibat kecuaian pemandu di stesen minyak

November 2, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Kecuaian seorang pemandu ketika mengundurkan keretanya menyebabkan seorang lelaki patah ibu jari tangan kanan selepas dilanggar Perodua Viva di Stesen Petronas, Jalan Kuhara, di sini, Sabtu lalu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi kira-kira 20 saat memperlihatkan detik cemas apabila kereta berkenaan tiba-tiba mengundur dengan laju sebelum merempuh kawasan pam angin dan air sehingga struktur berkenaan tumbang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa yang juga orang awam berusia 59 tahun sedang mencuci tangan di kawasan berkenaan sebelum dirempuh kenderaan dipandu lelaki berusia 61 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati pemandu warga tempatan itu datang ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar keretanya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh.

Katanya, pemandu kemudian mendapati hos pam angin tidak dapat mencapai tayar hadapan sebelah kiri lalu masuk semula ke dalam kereta untuk mengubah kedudukan kenderaan.

“Bagaimanapun, ketika cuba mengundur, pemandu dipercayai secara tidak sengaja terpijak pedal minyak menyebabkan kereta bergerak ke belakang secara mengejut.

“Kereta berkenaan kemudian melanggar lelaki yang sedang mencuci tangan di kawasan pam angin dan air di belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan patah ibu jari tangan kanan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaannya ketika mengundur.

“Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan sedang mengesan saksi lain bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam kawalan sepenuhnya.

Katanya, pemandu juga perlu lebih peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika mengundur di kawasan parkir dan stesen minyak.

“Keselamatan orang ramai perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya. – Info X