Search

Banteras penggunaan senjata api haram

November 3, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Pihak berkuasa digesa memantau keselamatan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung pemilikan serta penggunaan senjata secara haram di kawasan pedalaman negeri ini.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau, Datuk Azman Ruslan, berkata langkah itu perlu bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, tindakan pantas dan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan penguatkuasaan, termasuk merampas 42 laras senapang angin dan 456 peluru di Sook baru-baru ini, wajar diberikan penghargaan.

“Kejayaan rampasan itu membuktikan komitmen dan profesionalisme polis dalam membanteras pemilikan serta penggunaan senjata yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang terbabit dalam kejadian tragis baru-baru ini.

Azman berkata, kehilangan nyawa pada usia begitu muda adalah tragedi menyedihkan yang seharusnya meningkatkan keprihatinan semua pihak terhadap aspek keselamatan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pemantauan serta mengambil langkah pencegahan lebih menyeluruh bagi membanteras pemilikan dan penggunaan senjata api secara haram.

Beliau berkata, penduduk di kawasan pedalaman juga berhak menikmati persekitaran yang aman dan selamat, selain bebas daripada ancaman jenayah serta penyalahgunaan senjata.

Pada masa sama, Azman berharap kerjasama antara pihak berkuasa dengan masyarakat setempat terus diperkukuhkan, khususnya dalam penyaluran maklumat dan pelaksanaan langkah pencegahan bagi melindungi nyawa serta keselamatan orang ramai.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya. – Info X