Search

Pembinaan HATC di Sayat-Sayat cabuli undang-undang adat – DIO

November 3, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dayak International Organization (DIO) mendakwa pembinaan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) di kawasan Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu atau Aki Nabalu satu tindakan pencabulan terhadap undang-undang adat anak negeri.

Wakil Tetap DIO di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Petinggi Andrew Ambrose Atama Katama, berkata undang-undang adat anak negeri dilindungi di bawah Deklarasi PBB berkaitan Hak Orang Asal (UNDRIP).

“Kerja-kerja pengerudian struktur dan perubahan fizikal di puncak gunung berkenaan mewakili pencabulan terhadap undang-undang adat anak negeri yang dilindungi di bawah UNDRIP.

“Usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ini menggunakan majlis penasihat pentadbiran bagi melangkaui kebenaran dari akar umbi adalah satu tindakan memperlekeh undang-undang tradisi masyarakat Kadazandusun dan Momogun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menegaskan, Aki Nabalu bukan sebuah aset hartanah atau tapak permainan komersial untuk menjana kewangan negeri.

Sebaliknya, Andrew menegaskan gunung berkenaan sebuah entiti suci yang hidup dan repositori leluhur memegang sempadan adat yang berdaulat.

“Dasar semasa negeri yang secara agresif melindungi infrastruktur fizikal pelancongan tetapi gagal mengenakan penalti atas pencemaran budaya dan semangat, adalah dua sistem yang memudaratkan warisan orang asal.

Berikutan itu, katanya DIO mendesak penghentian segera terhadap semua pembinaan, penggerudian dan pemasangan modular di semua kawasan altitud tinggi di Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu.

Beliau turut mendesak supaya satu audit bebas alam sekitar dan kesan air kumbahan terhadap tadahan air tempatan.

“DIO akan membawa perkara ini terus ke Forum Tetap PBB mengenai isu anak negeri dan Jaringan Geopark Global UNESCO untuk mencabar komodofikasi komersial terhadap tapat suci kita.

“Kerajaan negeri mesti menghormati kedaulatan undang-undang adat tanpa sempadan dunia Dayak dan mengakui keperibadian sah Aki Nabalu.

“Kegagalan menghentikan pencerobohan ini akan menyebabkan cabaran perundangan antarabangsa dan mobilisasi defensif di kepulauan Borneo,” katanya. – Info X