Search

Bot kargo bawa baja ammonium nitrat, petrol bernilai RM150,000 ditahan

November 4, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan membawa petrol, barangan kawalan serta baja ammonium nitrat tanpa kebenaran polis terbongkar selepas sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Dogoton, Pulau Banggi, hari ini.

Empat individu termasuk tiga warga Filipina berusia antara 20 hingga 30 tahun turut ditahan dalam operasi yang membawa kepada rampasan bot dan barangan dianggarkan bernilai RM150,000.

Pengarah Maritim Zon Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 0.4 batu nautika tenggara Dogoton hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot kargo berkenaan dikendalikan empat individu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan tiga warga Filipina.

“Hasil pemeriksaan menemui muatan petrol, barangan kawalan berjadual serta baja ammonium nitrat yang disyaki dibawa tanpa kebenaran polis.

“Kesemua individu bersama bot kargo dan barangan yang dianggarkan bernilai RM150,000 ditahan untuk tindakan lanjut.

“Bot berkenaan kemudian diiring ke Jeti Pelabuhan Kudat bagi menjalani pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasbullah berkata, penahanan itu hasil risikan dan kecekapan anggota operasi dalam mengesan kegiatan mencurigakan di perairan Pulau Banggi.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Kami akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, khususnya membabitkan penyeludupan barangan kawalan.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara diminta menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera. – Info X