Search

Pesanan Jauteh sebelum bersara, jaga maruah dan nama baik PDRM

November 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Ingatlah, setiap tindakan kita membawa imej dan maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jadilah anggota polis yang bukan sahaja dihormati kerana kuasa yang dimiliki, tetapi disegani kerana integriti, profesionalisme dan keperibadian yang ditunjukkan.”

Itu antara pesanan penuh bermakna Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun kepada seluruh warga PDRM Sabah ketika beliau kini menghitung hari sebelum menamatkan perkhidmatan selepas lebih 32 tahun menabur bakti dalam pasukan.

Bagi Jauteh, pangkat dan kuasa bukanlah segala-galanya, sebaliknya integriti, disiplin dan keperibadian menjadi ukuran sebenar seseorang anggota polis dalam memikul amanah yang diberikan.

Beliau berkata, setiap anggota perlu sentiasa mengenali diri, memahami tanggungjawab dan tidak melupakan asal usul sebagai asas membentuk kecemerlangan sepanjang perkhidmatan.

“Apabila kita mengenali diri, asal usul dan memahami apa yang menyebabkan kita berada dalam pasukan polis, kita akan lebih menghargai tanggungjawab yang diberikan.

“Kita akan berusaha melakukan yang terbaik dan memberikan sumbangan semampu mungkin kepada organisasi seterusnya kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Dewan Pengaman IPK Sabah, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, setiap anggota perlu menyedari bahawa tanggungjawab sebagai anggota polis bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, malah membawa bersama imej, maruah dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan.

Sehubungan itu, beliau berharap seluruh warga PDRM terus memelihara disiplin, integriti serta profesionalisme dalam setiap tindakan supaya pasukan itu sentiasa dihormati dan diyakini masyarakat.

Dalam pada itu, Jauteh yang dijadual bersara wajib pada 11 November ini turut berkongsi mengenai kehidupan selepas persaraan yang disifatkannya sebagai permulaan fasa baharu selepas sekian lama berkhidmat dalam pasukan polis.

Katanya, beliau mahu kembali menjalani kehidupan sebagai orang awam dan hanya akan memikirkan perancangan seterusnya selepas menamatkan perkhidmatan.

Beliau turut membayangkan hasrat untuk kembali ke kampung halaman dan menikmati kehidupan seperti biasa selepas lebih tiga dekad menggalas tanggungjawab dalam PDRM. – Info X