KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bakal memiliki dewan serbaguna sendiri bernilai RM480,000 yang bukan sahaja menyediakan kemudahan lebih selesa kepada warga polis, malah mampu menjimatkan kos penyewaan khemah bagi penganjuran pelbagai program rasmi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pembinaan Dewan Pengaman berukuran 150 kaki panjang dan 50 kaki lebar itu dicadangkan di kawasan padang kawad IPK Sabah sebagai kemudahan serbaguna pertama seumpamanya di ibu pejabat berkenaan.

Katanya, pembinaan dewan itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang memandangkan perbelanjaan menyediakan khemah dan kanopi bagi pelbagai program sepanjang tahun boleh mencecah jumlah besar.
“Kos penyediaan khemah bagi program yang diadakan sepanjang tahun berpotensi menampung hampir separuh daripada kos pembinaan dewan ini.
“Selain menjimatkan perbelanjaan, kita juga dapat mengurangkan penggunaan masa dan tenaga kerja untuk menyediakan kemudahan sementara setiap kali program diadakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi November 2026 dan Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Dewan Pengaman IPK Sabah, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, dewan berkonsepkan ruang terbuka berbumbung itu dirancang dengan mengambil kira aspek penjimatan kos pembinaan dan penyelenggaraan, selain mengutamakan pengudaraan semula jadi serta pencahayaan yang baik.

Katanya, reka bentuk berkenaan membolehkan dewan digunakan secara fleksibel untuk pelbagai aktiviti termasuk perhimpunan, program jabatan dan majlis rasmi tanpa terlalu bergantung kepada khemah sementara.
“Dewan ini bukan hanya untuk kegunaan satu unit atau jabatan, sebaliknya boleh dimanfaatkan seluruh warga IPK Sabah termasuk ahli keluarga mereka.
“Malah, kemudahan ini juga berpotensi digunakan untuk penganjuran majlis kekeluargaan dan sosial membabitkan orang awam pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, pembinaan dewan berkenaan turut mengambil kira aspek keselesaan dan keselamatan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Beliau berharap projek itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan memberikan manfaat berterusan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah. – Info X