Search

Penunggang motosikal nyaris maut rempuh lori simen ketika memotong

November 5, 2026

Info X Reporters

RANAU: Seorang penunggang motosikal nyaris maut selepas merempuh bahagian tepi sebuah lori simen ketika sedang memotong kenderaan di depannya dekat stesen minyak di Kilometer 4, Jalan Ranau-Telupid, berhampiran Petronas Kilimu, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun berkenaan mengalami kecederaan pada tumit kaki kiri selepas motosikal Aveta Ranger ditunggangnya merempuh lori pembancuh simen yang sedang membelok ke kanan untuk ke stesen minyak.

Kejadian yang turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan memperlihatkan detik mencemaskan apabila motosikal berkenaan merempuh bahagian kanan lori yang sedang membelok.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah sama iaitu Lohan menuju ke arah Ranau.

Katanya, kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal cuba memotong dari sebelah kanan, manakala lori berkenaan sedang membelok masuk ke simpang Stesen Minyak Petronas Kilimu.

“Ketika lori berkenaan sedang membelok, motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian tepi kanan kenderaan berat itu.

“Akibat perlanggaran berkenaan, penunggang motosikal mengalami luka pada tumit kaki kiri dan dibawa ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mursalin berkata, pemandu lori berusia 39 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 serta boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika memotong kenderaan berat dan menghampiri kawasan persimpangan.

“Pemandu dan penunggang motosikal perlu memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memotong serta mematuhi garisan jalan bagi mengelakkan kemalangan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko memotong di kawasan yang mempunyai garisan berkembar atau berhampiran simpang,” katanya.

Terdahulu, tular video dashcam memaparkan sebuah motosikal merempuh lori simen selepas memotong sebuah kenderaan di laluan garisan berkembar berhadapan Stesen Minyak Petronas, yang difahamkan berlaku di Ranau, pada Khamis.

Rakaman daripada kenderaan di belakang lori simen terbabit menunjukkan kenderaan berat itu sedang membelok ke kanan untuk memasuki stesen minyak, sebelum sebuah motosikal dilihat merempuh bahagian tepinya. – Info X